Friday, June 12, 2009

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kualiti Hidup Warga Tua Yang Menerima Rawatan Kesihatan Primer Di Daerah Hulu Langat, Selangor

Harolhanam Mohamed Wahid, Rahmah Mohd Amin

ABSTRAK


Kualiti hidup adalah persepsi individu mengenai status hidup mereka dari konteks budaya dan sistem nilai di mana mereka tinggal yang berkaitan dengan matlamat, harapan dan keprihatinan diri mereka. Kualiti hidup terbahagi kepada dua komponen utama iaitu komponen fizikal dan komponen mental. Satu kajian keratan rentas telah dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kualiti hidup di kalangan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas. Seramai 115 orang responden telah diambil dari tujuh buah klinik dalam daerah Hulu Langat, Selangor secara persampelan universal. Faktor-faktor yang dikaji adalah latar belakang sosiodemografi, persepsi sokongan sosial keluarga, persepsi sokongan sosial rakan, kemurungan dan kepuasan terhadap perkhidmatan kesihatan warga tua. Analisis secara deskriptif, ujian t, korelasi dan linear regresi telah digunakan untuk menganalisis data. Hasil ujian ke atas komponen fizikal kualiti hidup mendapati umur, jantina, pendidikan dan pendapatan didapati mempunyai perbezaan yang signifikan manakala hanya faktor bangsa sahaja dapat dilihat mempunyai perbezaan yang signifikan pada komponen mental kualiti hidup. Analisa menggunakan ujian korelasi menunjukkan perhubungan yang signifikan di antara persepsi sokongan sosial keluarga, persepsi sokongan sosial rakan dan kemurungan di kalangan warga tua dengan komponen fizikal kualiti hidup. Bagaimanapun hanya kemurungan di kalangan warga tua menunjukkan hubungan yang signifikan dengan komponen mental kualiti hidup. Analisa lanjut menggunakan ujian regresi linear mendapati bahawa hanya kemurungan memberikan nilai yang signifikan (P=0.004), dan faktor ini menyumbang sebanyak 13.2 peratus dalam komponen fizikal kualiti hidup dan 35.6 peratus dalam komponen mental kualiti hidup ke atas pemboleh ubah yang dikaji. Sebagai kesimpulan, penemuan dari kajian ini mendapati bahawa status kesihatan mental adalah penyumbang utama kepada tahap kualiti hidup warga tua yang dikaji. Keadaan ini dikuatkan lagi oleh rendahnya persepsi sokongan sosial keluarga dan juga rakan-rakan yang diterima oleh warga tua. Oleh yang demikian semua anggota kesihatan perlu mengambil perhatian mengenai pelbagai faktor yang punyai hubungan dengan kualiti hidup warga tua.

No comments: