Sunday, October 30, 2011

Masalah Psikososial Pesakit Strok dan Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Membantu Pesakit Strok

Apakah strok?

Strok adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh, mengawal setiap yang kita lakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan. Untuk berfungsi, otak memerlukan bekalan darah berterusan yang membawa oksigen dan nutrien yang amat penting. Apabila saluran darah di dalam otak pecah ataupun tersumbat, bekalan darah akan terhenti dan sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien.

Bahagian otak yang terjejas tersebut akan mula mati dan pesakit mengalami strok dengan pantas dan senyap. Kerosakan otak menyebabkan deria-deria terjejas dan boleh memberi kesan kepada pertuturan dan pemahaman bahasa. Sebelah tubuh mungkin lumpuh, sikap, corak pemikiran dan ingatan terubah.

Serangan Iskemia Sementara (TIA)

Satu tanda penting ancaman strok adalah Serangan Iskemia Sementara (TIA), juga dikenali sebagai strok mini. Ia berlaku kerana gangguan bekalan darah yang sementara kepada bahagian-bahagian otak. Gejala-gejalanya amat serupa dengan strok sebenar, tetapi, tidak seperti strok yang serius, gejalanya muncul kurang dari 24 jam dan kemudian pulih sepenuhnya. TIA adalah petunjuk yang sebahagian otak tidak mendapat darah yang mencukupi dan terdapat risiko berlakunya strok. TIA tidak boleh sekali-kali dibiarkan dan perlu dilaporkan kepada seorang profesional perubatan secepat mungkin.

Kesan Psikososial Pesakit Strok

Serangan strok biasanya meninggalkan kesan yang besar kepada pesakit dan ahli keluarga mereka. Di samping mengalami kesan-kesan fizikal akibat strok, pesakit juga mungkin akan mengalami perubahan dari segi hidup seperti kehilangan maruah, rasa kehilangan "peranan" dalam keluarga, pengasingan sosial, perubahan perasaan seperti cepat marah dan sedih, kemurungan, masalah dengan kognisi dan komunikasi. Kesan trauma psikologi yang sangat mendalam sepertimana diceritakan oleh beberapa pesakit strok yang telah pulih menyatakan bahawa ia sebagai "malapetaka peribadi". Kesan strok kepada ahli keluarga tidak kurang hebatnya. Ia dianggap sebagai satu bencana yang perlu mereka hadapi terutamanya tentang realiti baru mengenai kedudukan pesakit dalam keluarga, ketidaktentuan dan kebimbangan mengenai masa depan dan kedudukan kewangan yang perlukan pengubahsuaian perbelanjaan. Satu pelan yang menyeluruh berkenaan temu janji rawatan dan program pemulihan pesakit strok perlu dirangka oleh ahli keluarga bagi memastikan proses rawatan pesakit strok berjalan lancar.

Bagi melancarkan proses discaj dari sebuah hospital atau dari pusat pemulihan ke rumah apabila tiba masa yang sesuai, adalah wajar bagi pesakit bukan hanya bersedia untuk mempersiapkan diri mereka melalui pengubahsuaian fizikal di rumah masing-masing, tetapi juga mempersiapkan diri dari segi psikologi untuk "memulakan hidup baru" di rumah masing-masing. Bagi penderita strok, kesan perubahan akibat strok tidak hanya tertumpu terhadap perubahan fizikal yang perlu diuruskan melalui pemulihan, tetapi juga perubahan terhadap kesan emosi dan psikologi yang juga perlu ditangani.

Pesakit yang mengalami masalah dari segi komunikasi atau mungkin yang sibuk dalam hal menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal dan psikologi mereka, kadang kala mereka akan tertinggal dalam membuat keputusan penting yang sedang dibuat mengenai program pemulihan ke atas mereka. Adalah penting untuk mangsa-mangsa strok dimasukkan sekali dalam perbincangan dan diberi peluang memberi input kepada keputusan yang hendak dibuat berkenaan penjagaan mereka. Jika pesakit mengalami masalah komunikasi, cara-cara alternatif lain mungkin perlu diwujudkan supaya kehendak mereka dipenuhi dan dihormati. Seboleh mungkin persoalan dan pendapat pesakit perlu disampaikan kepada petugas perubatan dan ia perlu dipastikan bahawa maklum balas pesakit ditunaikan. Proses pemulihan pesakit strok merupakan jalan yang panjang, sukar, mengecewakan dan memerlukan kesabaran yang tinggi di kalangan mangsa-mangsa strok, keluarga mereka ataupun penjaga mereka.

Antara perkara-perkara yang ahli keluarga boleh lakukan untuk membantu pesakit melalui cabaran-cabaran ini termasuklah:

• Belajar sendiri mengenai proses pemulihan pesakit strok dengan menyertai kumpulan sokongan atau kelas untuk mangsa-mangsa strok dan keluarga mereka.

• Memahami isu-isu yang terlibat dalam proses perancangan discaj dari hospital atau dari pusat-pusat pemulihan.

• Menghadiri beberapa sesi-sesi pemulihan yang dijalankan supaya mereka boleh belajar bagaimana untuk membantu dan memperkukuh apa yang pesakit perlu buat dalam proses pemulihan.

• Melaksanakan arahan untuk mengamalkan apa-apa jua kemahiran yang dipelajari belajar semasa berada di pusat pemulihan.

• sentiasa menyokong keputusan yang dibuat oleh pesakit.

• Belajar bagaimana untuk memudahkan komunikasi dengan pesakit.

Adalah penting bagi pesakit untuk mengikuti semua temu janji rawatan dan pemulihan susulan yang ditetapkan supaya tidak ada jurang yang timbul dalam proses rawatan yang dijalankan. Oleh kerana pesakit biasanya hanya boleh bergerak secara perlahan-lahan dan mengambil masa yang lama semasa bersiap sedia untuk keluar, penjaga harus membantu mereka dengan bersedia meluangkan masa yang mencukupi untuk mengurangkan tekanan jika mahu cepat. Bagi sesetengah pesakit, usaha yang diperlukan untuk pergi ke semua tempat temu janji yang ditetapkan ke atas mereka boleh menambahkan lagi beban psikologi yang sedia ada mereka alami. Pesakit juga boleh mendapat manfaat dengan menyertai kumpulan sokongan pasca-strok di mana mereka boleh membincangkan kebimbangan dan menerima maklum balas daripada orang lain yang telah melalui pengalaman yang serupa dengan mereka.

Lawatan atau ziarah daripada rakan-rakan dan ahli keluarga ke hospital, pusat pemulihan strok, pusat penjagaan dan ke rumah pesakit sendiri membantu pesakit strok mengurangkan rasa kesunyian dan kemurungan yang dialami oleh mereka. Pesakit akan merasa gembira dapat melakukan aktiviti bersama dengan teman-teman seperti bersantai, bermain kad dan menonton televisyen. Pesakit boleh juga di bawa keluar sekali-skala untuk melawat rakan-rakan, menonton filem, dan menghadiri perjumpaan bersama masyarakat setempat atau tempat-tempat lain yang bersesuaian. Bagaimanapun tahap aktiviti sosial perlulah disesuaikan, ini kerana jika terlalu banyak melakukan aktiviti ianya boleh memburukkan lagi tahap keletihan dan minat pesakit, manakala terlalu sedikit aktiviti boleh membawa kepada perasaan kesunyian dan kemurungan.

Seperti yang dinyatakan di atas, kemurungan selepas pasca-strok mempunyai kesan yang besar kepada mangsa-mangsa strok, ahli keluarga, penjaga, dan kawan-kawan dan mempengaruhi dalam pelbagai aspek pemulihan dan rawatan pesakit termasuklah:

• Kurang keberhasilan fungsi yang diharapkan
• kelemahan fungsi kognitif
• Peningkatan kadar kematian
• Peningkatan pergantungan hidup kepada orang lain (penjaga, keluarga, rakan-rakan)
• kecacatan fizikal yang teruk
• Pengurangan aktiviti-aktiviti sosial bersama kenalan
• Pengurangan tindak balas terhadap pemulihan
• Kemerosotan bahasa pertuturan dan kemahiran berkomunikasi
• Tinggal di hospital untuk jangka masa yang lebih lama.

Sekiranya kawan-kawan, ahli keluarga, ataupun penjaga mendapati tanda-tanda kemurungan dalam diri pesakit, mereka perlu mendapatkan bantuan melalui ahli-ahli pasukan rawatan dan pemulihan pesakit strok, seperti pakar psikologi atau pegawai kerja sosial perubatan, supaya pesakit boleh dinilai dan diberikan rawatan susulan secepat mungkin. Jika tidak, prospek masa depan pemulihan bagi pesakit strok akan berjalan secara perlahan.


Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Membantu Pesakit Strok

Pegawai Kerja Sosial Perubatan adalah anggota pasukan pelbagai disiplin yang menyampaikan perkhidmatan penjagaan kepada pesakit strok. Pegawai Kerja Sosial Perubatan bertugas di hospital, harus mempunyai kefahaman tentang penyakit tersebut dan kesannya terhadap pesakit, penjaga dan keluarga. Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga harus tahu masalah fizikal dan sedar tentang kesan-kesan psikologi dan emosi pesakit strok supaya dapat lebih memahami keperluan pesakit.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan bekerja rapat dengan ahli-ahli individu pasukan pelbagai disiplin dan sedar tentang keperluan pesakit. Pegawai Kerja Sosial Perubatan terlibat dengan pesakit di pelbagai peringkat proses pemulihan, bergantung kepada apakah masalah pesakit dan keluarganya. Sesetengah pesakit akan memerlukan nasihat dan maklumat awal dari Pegawai Kerja Sosial Perubatan tentang penjagaan pesakit terutamanya berkaitan masalah kewangan, hubungan keluarga atautempat tinggal mereka.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang sumber-sumber yang terdapat dalam masyarakat supaya dia mampu untuk menasihati pasukan perubatan dan pesakit mengenai apakah bantuan yang boleh diperolehi bagi pesakit dan keluarganya. Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga berperanan menasihati pasukan perubatan jangka masa diperlukan bagi melaksanakan pakej penjagaan dan bagi membincangkan bentuk alternatif penjagaan jika ianya diperlukan.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan biasanya akan menjadi lebih banyak terlibat dengan pesakit dan orang-orang yang mempunyai kaitan dengan pesakit. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan melengkapkan penilaian penjagaan komuniti untuk pesakit dengan berunding dengan pesakit dan pasukan pelbagai disiplin serta ahli keluarga mereka. Adalah penting untuk Pegawai Kerja Sosial Perubatan sedar akan matlamat dan jangkaan pesakit sendiri dan dalam menganjurkan alternatif penjagaan yang sesuai, sama ada dalam masyarakat atau penempatan di institusi kebajikan sebagaimana yang dikehendaki oleh pesakit dan keluarga. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan bekerjasama dengan pesakit dan keluarga untuk satu tempoh masa selepas discaj untuk memastikan bahawa pelan pemulihanyang dirangka memenuhi keperluan pesakit mereka dalam apa-apa setting sekalipun serta menilai semula apa-apa situasi sukar yang mungkin timbul dalam proses pemulihan pesakit strok.