Saturday, August 13, 2011

Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) Di Hospital Sungai Buloh

Sempena Majlis Penyampaian Sumbangan perubatan pada 12.08.2011, TKPM Cawangan Hospital Sungai Buloh telah menyumbangkan sebanyak 10 unit kerusi roda kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma dan sebanyak 2 unit kerusi roda untuk Jabatan Perubatan bagi kegunaan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh. TKPM juga telah bermurah hati untuk memberikan sumbangan hamper kepada semua pesakit-pesakit yang berada di wad-wad di Hospital Sungai Buloh.

Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr, Haji Khalid bin Ibrahim dengan diiringi En. Harolhanam bin Mohamed Wahid, Timbalan Pengerusi TKPM, Puan Noormah Sani, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sungai Buloh serta Pegawai-pegawai Kerja Sosial Perubatan kemudiannya menyampaikan sumbangan hamper khusus kepada pesakit-pesakit di Wad 4A. Majlis ini diadakan adalah sempena mengambil berkat Bulan Ramadhan dan Sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang akan disambut tidak lama lagi. Majlis ini adalah julung-julung kalinya diadakan oleh TKPM Cawangan Hospital Sungai Buloh. Semoga ianya akan memberikan kegembiraan pesakit.







Teks Ucapan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Semasa Majlis Penyampaian Sumbangan TKPM Kepada Hospital Sungai Buloh

UCAPAN Y.BHG. EN. HAROLHANAM BIN MOHAMED WAHID, TIMBALAN PENGERUSI TABUNG KEBAJIKAN PERUBATAN MALAYSIA SEMPENA PROGRAM PENYAMPAIAN SUMBANGAN KEPADA PESAKIT HOSPITAL SUNGAI BULOH
Tarikh : 12 Ogos 2011 Jam 11.00 Pagi Di Bilik Seminar 1, Hospital Sungai Buloh

Terima kasih Puan Pengerusi Majlis

Y. Bhg. Dr. Haji Khalid bin Ibrahim, Pengarah Hospital Sungai Buloh

Y. Dihormati Dr. Aminnudin, Timbalan Pengarah (Perubatan)

Y. Berusaha Puan Noormah binti Sani, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan

Y. Berusaha Hajah Mek binti Jusoh, Ketua Penyelia Jururawat

Y. Berusaha Tuan Haji Abd Khalid bin Ismail, Penolong Pegawai Perubatan Kanan wakil Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma

Y. Berusaha Puan Rahani bin Yaakob, Penyelia Jururawat wakil Ketua Jabatan Perubatan

Tuan-tuan para hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekelian.

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

1. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya.

2. Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnianya kita masih lagi diberi peluang meneruskan tugas sebagai hamba Allah untuk melaksanakan amalan kebajikan di muka bumi ini. Semoga segala apa yang dilaksanakan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan mendapat keberkatan dan keredhaanNya.

3. Terima kasih kepada Dr. Haji Khalid bin Ibrahim, Pengarah Hospital Sungai Buloh di atas kesudian menerima kunjungan kami dari Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia bagi menyampaikan sumbangan peralatan perubatan daripada TKPM kepada Hospital Sungai Buloh. Semoga aktiviti kebajikan seperti ini akan dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik khususnya dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

4. Fungsi utama TKPM diwujudkan adalah untuk menyalurkan bantuan pembelian peralatan perubatan yang tidak dibekalkan oleh hospital kerajaan kepada pesakit-pesakit miskin seperti oksigen concentrator, suction machine, commode chair, kerusi roda dan sebagainya. TKPM juga berperanan memberi bantuan kewangan segera kepada pesakit miskin yang berada dalam situasi kecemasan dan krisis semasa mereka mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan. TKPM ditubuhkan sejak 4 Januari 1997 dan dikelolakan oleh Persatuan yang dianggotai oleh Pegawai-pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia. TKPM juga mendapat taraf pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil dalam Negeri.

5. Usaha yang dilakukan oleh TKPM ini adalah selaras dengan tuntutan agama Islam yang mana ianya amalan fardhu kifayah yang perlu disempurnakan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab TKPM untuk memberi bantuan dan perkhidmatan yang terbaik dan sewajarnya kepada pesakit. Sepertimana pesakit berhak mendapat layanan mesra yang sepenuhnya dari pihak hospital, mereka juga perlu diberikan bantuan mengikut keperluan pesakit bagi melengkapkan proses rawatan dan pemulihan dari penyakit yang mereka hidapi.

Tuan-tuan, Puan-puan sekelian

6. Bagi memenuhi tanggungjawab ini TKPM telah berusaha mendapatkan sumber dana daripada pelbagai sumber termasuk mendapatkan sumbangan orang ramai dan badan koporat serta melalui aktiviti perniagaan. Di setiap hospital yang mempunyai Pegawai Kerja Sosial Perubatan, TKPM telah menggalakkan PKSP untuk menubuhkan cawangan TKPM hospital masing-masing dan berusaha mendapatkan dana sendiri bagi disalurkan kepada pesakit yang memerlukannya. Di Hospital Sungai Buloh, berkat sokongan daripada Pengarah Hospital Sungai Buloh, TKPM cawangan Hospital Sungai Buloh telah mendapat dana tetap daripada keuntungan projek Hospicafe yang diusahakannya. Pada tahun 2010 pendapatan daripada Hospicafe tersebut adalah berjumlah RM42,000. TKPM juga mendapat sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM93,000 bagi disalurkan kepada pesakit miskin beragama Islam di Negeri Selangor yang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

7. Dari segi jumlah bantuan TKPM yang telah diberi kepada pesakit miskin di Hospital Sungai Buloh pada tahun 2010 sebanyak RM53,159.00 bantuan segera berbentuk petty cash telah diberikan kepada pesakit. Sebanyak RM2,566.00 pula telah diberi dalam bentuk bantuan peralatan perubatan sokongan, Jumlah keseluruhan bantuan TKPM Cawangan Hospital Sungai Buloh pada tahun 2010 adalah sebanyak RM55,725.00.
Pada tahun 2011 pula sehingga 10 Ogos 2011, Sebanyak RM24,893.00 telah dibelanjakan untuk bantuan pembelian peralatan perubatan, RM15,102.00 untuk bantuan kewangan segera (petty cash) dan sebanyak RM3,483.00 untuk majlis-majlis keraian pesakit di wad-wad.

8. Sempena Majlis Penyampaian Sumbangan perubatan pada hari ini, TKPM menyumbangkan sebanyak 10 unit kerusi roda kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma dan sebanyak 2 unit kerusi roda untuk Jabatan Perubatan bagi kegunaan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh. TKPM juga telah bermurah hati untuk memberikan sumbangan kepada semua pesakit-pesakit yang berada di wad-wad di Hospital sungai Buloh dan menyampaikan sumbangan khusus kepada pesakit di wad 4A. Majlis ini adalah julung-julung kalinya TKPM Cawangan Hospital Sungai Buloh mengadakan program seperti ini. Insya Allah jika ada rezeki lebih, program sepertim ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang.

Hadirin hadirat yang dihormati,

9. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas segala pengorbanan dan usaha yang telah dicurahkan oleh para pegawai kerja sosial perubatan Hospital Sungai Buloh yang telah berusaha keras mencari dana dan kemudiannya menyalurkan kepada pesakit-pesakit miskin yang memerlukannya. Kami amat memahami bahawa tugas-tugas anda sekalian adalah amat berat dan mencabar. Tetapi sekiranya tuan-tuan dan puan-puan bersabar dan melakukan tugas dengan penuh ikhlas insyaAllah, Allah s.w.t akan membalas dengan ganjaran yang besar di akhirat nanti. Islam juga ada menyebut barang sesiapa yang meringankan beban saudaranya nescaya Allah akan meringankan bebannya di akhirat kelak. InsyaAlllah.

10. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sungai Buloh khususnya kepada para urusetia yang telah bertungkus lumus bagi memastikan majlis ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Semoga usaha dan keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. Saya sudahi ucapan saya dengan ucapan:

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.