Saturday, November 12, 2011

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN DI UNIT PENJAGAAN STROK, ROYAL MELBOURNE HOSPITAL, AUSTRALIA



Pada 5 – 16 September 2011, saya telah berpeluang mengikuti Latihan Dalam Perkhidmatan dalam bidang pemulihan pesakit strok di Royal Melbourne Hospital, Australia di bawah tajaan Bahagian Latihan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Tujuan latihan ini dijalankan adalah untuk mendapatkan pendedahan tentang pengetahuan dan kemahiran psiko-sosial terkini dalam pengendalian kes pesakit strok. Melalui latihan seperti ini diharapkan akan dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi untuk digunakan semasa memberikan intervensi ke atas kes stroke di tempat bertugas dan dikongsi bersama rakan setugas di dalam perkhidmatan kerja sosial perubatan.



Seramai 6 orang ahli pasukan perubatan rehabilitasi dari Malaysia yang terdiri daripada Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP), Fisioterapi, Pegawai Pemulihan Cara Kerja, Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Ketua Jururawat telah turut sama dalam latihan ini. Pasukan ini saling bekerjasama rapat dalam membantu merawat pesakit strok pada setiap tahap rawatan dijalankan iaitu pada peringkat di dalam wad, selepas discaj dan semasa pesakit berada di rumah.



Latihan yang dijalankan bersama dengan Pasukan Perubatan Rehabilitasi Strok di hospital tersebut telah memberi pendedahan amat berguna kepada PKSP dari aspek klinikal berkaitan pengurusan pesakit strok. Ini kerana semasa sesi latihan ini PKSP bersama pasukan perubatan yang lain telah diberi peluang untuk mengikuti sesi ‘ward round’ bersama pakar perubatan rehabilitasi hospital berkenaan,. PKSP juga berpeluang untuk mengikuti sesi kes konferen selepas ‘ward round’ dijalankan bersama pasukan multidisiplinari yang lain.



Semasa sesi ini PKSP telah didedahkan dengan perbincangan kes setiap pesakit dari aspek perkembangan rawatan hinggalah perancangan dscaj pesakit. PKSP juga berpeluang mengikuti sesi perancangan discaj yang dijalankan setiap minggu bersama pakar perunding rehabilitasi. Selain dari itu, PKSP juga telah diberi pendedahan mengenai proses pemilihan pesakit strok yang layak untuk dimasukkan ke Wad Rehabilitasi Royal Melbourne Hospital melalui sesi dipanggil ‘Theraputic Therapy Assessment Center’ (TRAC).



Sesi pemilihan ini dijalankan di dua tempat iaitu di hospital rehabilitasi itu sendiri dengan menyemak senarai rujukan yang dihantar oleh pasukan stroke dari kampus hospital utama dan kemudiannya disusuli dengan pakar klinikal rehabilitasi pergi ke kampus hospital utama bagi mengesahkan sama ada pesakit yang telah dipilih benar-benar layak dimasukkan ke wad rehabilitasi.



Peranan utama Pegawai Kerja Sosial Perubatan semasa di wad adalah membantu pesakit dan keluarga mereka dalam menyelesaikan isu berkaitan masalah emosi, sosial dan bantuan praktik yang berkaitan dengan penyakit, kecederaan atau ketidakupayaan yang dialami oleh pesakit. Setiap kes strok yang dimasukkan ke dalam hospital akan dilihat dan ditemubual oleh PKSP tanpa perlu dirujuk oleh Pakar Perubatan. Keadaan ini adalah berbeza dengan PKSP di Malaysia di mana setiap kes pesakit yang mempunyai masalah sosial perlu dirujuk oleh Pegawai Perubatan sebelum sesuatu kes itu diberi intervensi.



Pegawai Kerja Sosial Perubatan melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi persidangan kes yang diadakan selepas ‘ward round’ oleh pasukan multidisiplinari pada setiap hari. Semasa sesi ini, segala intervensi sosial yang telah dan akan dijalankan ke atas pesakit akan dimaklumkan kepada setiap ahli pasukan.

PKSP juga memainkan peranan penting semasa sesi perancangan discaj pesakit dijalankan. Pasukan perubatan akan mendapatkan pandangan PKSP terlebih dahulu mengenai kesesuaian discaj pesakit. PKSP juga memainkan peranan penting selepas pesakit strok discaj dari hospital dengan memberi intervensi yang diberi nama ‘Perkhidmatan Terapi Komuniti’. PKSP akan memastikan pesakit menjalani proses rawatan rehabilitasi melalui sokongan berterusan daripada ahli keluarga.



PKSP juga berperanan untuk mengenalpasti samada pesakit yang telah tidak berupaya membuat keputusan bagi dirinya sendiri akibat penyakit strok mempunyai seseorang yang telah diwakilkan kuasa
bagi membuat keputusan bagi dirinya di bawah skim dipanggil “Enduring Power Of Attorney”.



Latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan ini juga telah memberi ruang kepada PKSP untuk menjalin hubungan dengan rangkaian professional kerja sosial perubatan yang lebih global untuk berbincang tentang pengendalian kes pesakit strok dari aspek psikososial.

Latihan dalam perkhidmatan yang dilalui telah memberi lebih keyakinan kepada PKSP untuk mengendalikan pesakit strok berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman baru yang diperolehi dari aspek klinikal dan sosial. PKSP akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman baru ini semasa mengendalikan kes pesakit strok yang dirujuk dan dikendalikan di hospital tempat bertugas. PKSP akan berkerjasama rapat dengan pasukan perubatan yang mengendalikan pesakit strok di hospital tempat bertugas.

Pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi juga akan dikongsi bersama PKSP lain di hospital bertugas dan di lain-lain hospital melalui sesi taklimat dari masa ke semasa. PKSP juga bersedia menjadi pakar rujuk bagi pengendalian kes pesakit strok dari aspek rehabilitasi sosial kepada PKSP lain di seluruh Malaysia.